Archive for September, 2010

Royalti: Tok guru pondok bermunajat di Mekah

September 21st, 2010 by Admin

Exco perancangan ekonomi, kewangan dan kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa menyeru rakyat bersama-sama bermunajat bersama 40 ulamak serta tok guru pondok dari seluruh pelusuk negeri berhubung isu kes tuntutan royalti minyak daripada Petronas, laporSuara Keadilan.

Husam menerusi twitternya berkata sebuah laman web, www.munajatroyalti.com serta laman sosial facebook – www.facebook.com/pages/Misi-Munajat-Royalti-Rakyat telah diwujudkan bagi rakyat melayari dan seterusnya menyatakan sokongan mereka kepada usaha itu.

Menurut laman itu, kutipan derma telah dilancarkan bagi menampung kos membawa 40 ulamak serta tok guru pondok dari seluruh Kelantan untuk bermunajat secara khusus selama 40 hari dan 40 waktu di Mekah.

Majlis membaca doa dan beribadah di kota suci itu bertujuan untuk memberi sokongan spiritual kepada seluruh rakyat negeri itu berhubung tuntutan berkenaan.

“40 ulamak dan tok guru pondok dari seluruh Kelantan akan bermunajat untuk memohon kerahmatan dan kesejahteraan khusus buat rakyat negeri Kelantan semuanya dan untuk seluruh rakyat Malaysia amnya.

“Tujuan kami adalah untuk mempertahankan dan memartabatkan kepimpinan ulamak, alim ulama dan ahli agama di dalam kehidupan hal ehwal seharian kita sebagai umat Islam,” menurut laman itu.

Tuntutan royalti minyak Kelantan dianggarkan bernilai lebih RM800 juta setahun sejak 2005 dan sehingga tahun ini jumlah terkumpul dianggarkan sebanyak RM4.8 bilion.

Kerajaan negeri Kelantan mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil daripada minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan – Thailand, Kelantan – Vietnam dan Kelantan – Terengganu.

Berikutan dinafikan royalti minyak itu, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Liputan Royalti Minyak Kelantan Oleh Al-Jazeera

September 19th, 2010 by Admin

Ku Li Sedia Jadi Saksi Kelantan Di Mahkamah

September 12th, 2010 by Admin

GUA MUSANG: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau sedia menjadi saksi bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan sekiranya kerajaan negeri itu membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata tawaran itu dibuat kerana beliau lebih mengetahui mengenai latarbelakang isu berkenaan berikutan pernah dilantik sebagai orang yang bertanggungjawab dan ditugaskan menubuh Petronas serta terbabit dalam penyediaan Akta Petroleum.

“Saya boleh jadi saksi mengenai perkara itu kerana Akta Petroleum yang dipakai sampai sekarang adalah adil untuk kerajaan negeri membuat tuntutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Iba Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti, Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah pada 30 Ogos nanti.

Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Kerajaan pusat setakat ini telah menyerahkan wang ihsan sebanyak RM25 juta kepada Kelantan.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, Akta Petroleum memberi hak kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak menuntut hak royalti minyak. – BERNAMA

40 ulama ketuai Munajat Royalti Kelantan

September 10th, 2010 by Admin

KOTA BHARU, 25 Ogos: Seramai 40 ulama akan mengetuai Munajat Royalti Kelantan bagi memohon tuntutan hak royalti minyak kerajaan negeri itu dikembalikan kerajaan Pusat.

Program secara berkala yang dijangka bermula Disember ini adalah dianjur sekretariat khas royalti yang di bawah Gerakan Bertindak Kebalikan Royalti Minyak (Gegar).

Ketua NGO itu, Md Zulaimi Kazin, dalam sidang medianya memberitahu sebahagian besar anggota mereka disertai oleh para ulamak dari beberapa buah pondok, terutama dari Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumbuh.

Menurutnya, seketeriat yang dipengerusikan Tuan Guru Hussin Ibrahim, dari Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas itu, diadakan bertujuan untuk menyampaikan mesej rakyat menuntut royalti itu melalui golongan ulamak.

Ujarnya, 40 ulama yang akan menyertai misi ini dipilih berdasarkan jasa dan khidmat yang dicurahkan bagi pembangunan ilmu agama di negeri Kelantan.

“ Pemilihan ulama tersebut di buat dari kalangan ulama dipondok-pondok, ulama kawasan dari Dewan Ulama PAS dan ulama di kalangan ahli akademik,” ujarnya lagi.

Tambahnya, para ulama berkenaan juga akan mendoakan kelancaran proses tuntutan di mahkamah sekiranya tuntutan itu dibawa ke peringkat tersebut.

“Paling penting misi ini akan menyampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan Pusat dan Petronas bahawa rakyat Kelantan turut bangkit menuntut hak mereka.

40 ulama tersebut juga katanya akan mendoakan dan bermunajat secara individu selama 40 hari berturut-turut di Kelantan dan kemuncak munajat akan dilakukan selama 40 waktu di Baitullah di Makah.

Sehubungan itu, semua warga negara yang perihatin terutama rakyat Kelantan diseru menyalurkan sumbangan untuk menjayakan program tersebut.

Kutipan sumbangan akan bermula 1 Syawal bersamaan 10 September sehingga 30 November ini.

Kelantan fail saman Petronas 30 Ogos

September 2nd, 2010 by Admin

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Tindakan memfailkan saman terhadap Petronas adalah atas dasar menjaga kehormatan harta rakyat negeri Kelantan yang telah dirampas oleh Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, sebagai ketua kerajaan bertanggungjawab, beliau perlu memastikan hak rakyat Kelantan dikembalikan walau terpaksa ke mahkamah.

“Wajib atas saya sebagai ketua kerajaan dan penolong-penolong saya menjaga harta Kelantan dengan apa cara sekalipun samaada dengan rundingan, termasuk juga melalui mahkamah.

“Kami hari ini datang kerana menunuaikan tugas agama menjaga harta rakyat Kelantan iaitu petroleum, gas dan sebagainya,” kata Nik Aziz pada sidang media selepas selesai memfailkan saman berkenaan dan menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pagi tadi.

Mursyidul Am PAS itu turut berkata, dalam al-Quran ada dinyatakan mengenai lima perkara yang mesti dijaga iaitu akidah, nyawa, harta, nasab dan maruah.

Justeru, beliau dan exco kerajaan negeri memilih untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah sebagai jalan penyelesaian memandangkan tuntutan secara rundingan agar royalti petroleum dikembalikan kepada negeri tidak diendahkan Kerajaan Persekutuan.

“Kami datang ke mahkamah ini kerana saya sebagai ketua negeri dan rakan-rakan daripada exco mahu mempertahankan harta kami,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau bagi pihak kerajaan negeri yang mewakili rakyat Kelantan amat berharap agar mahkamah dapat mengadili kes itu seadil-adilnya kerana soal keadilan terkandung dalam al-Quran yang wajib diikuti oleh orang Islam.

“Kami berdoa kepada Allah S.W.T minta semua yang mengendalikan urusan harta kami ini iaitu peguam, hakim dan sebagainya supaya terbuka pintu hati mereka, ingat kepada keadilan. Keadilan ini wajib ditunai dan diseru dalam al-Quran sebelum ada PBB di muka bumi ini, sebelum ada apa-apa akta di dunia ini,” katanya lagi.

Kira-kira jam 9.30 pagi tadi kerajaan Kelantan memfailkan saman di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Selepas itu, Tuan Guru Nik Aziz yang diiringi kepimpinan kerajaan negeri, ahli-ahli parlimen PAS, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan kira-kira 200 orang menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, mereka yakin berada di pihak yang benar kerana segala fakta mengenai royalti petroleum termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 jelas membuktikan Kelantan berhak mendapat royalti tersebut.

“Kita sebelum ini teleh menghubungi Petronas, Perdana Menteri dan membuat kenyataan yang menjelaskan kedudukan Kelantan dari segi hak petroleum seperti mana perjanjian petroleum 1974 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974,” katanya.

Menurutnya juga, tiada sebarang kekeliruan dalam perjanjian itu dan mendapat sokongan bekas pengerusi petronas pertama, Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian tersbut bagi pihak Petronas dengan negeri-negeri termasuk Kelantan.

Dalam perjanjian tersebut dinyatakan bahawa jika pengeluaran petroleum dan gas berlaku sama ada di daratan atau di lautan sesuatu negeri, maka negeri tersebut berhak mendapat royalti sebanyak lima peratus setahun.

Namun, royalti berkenaan tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan sejak tahun 2004.

Manakala peguam kanan Tommy Thomas yang mewakili kerajaan Kelantan optimis untuk memnenagi kes tersebut berdasarkan pengalaman beliau berhadapan dengan Kerajaan Terengganu dalam kes yang sama.

“Kita yakin boleh menang kes ini dan kita sangat berharap dapat menang untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan,” katanya.