Archive for October, 2010

Wang Ehsan diguna modal politik “Umno Juara Rakyat”

October 8th, 2010 by Admin

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu Royalti Minyak untuk negeri berkenaan.

Kenyataan Mustapa bahawa tuntutan Kerajaan PAS Kelantan terhadap hasil minyak yang diperoleh di pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984 tidak berasaskan kenyataan merupakan satu penafian yang nyata untuk kali kedua.

Sebelum ini beliau juga menafikan hak Kelantan terhadap minyak yang diteroka di kawasan Kawasan bertindih atau di kenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia – Thailand.

Penafian beliau ini tidak selari dengan fakta Jabatan Perangkaan Negara yang melaporkan pada 2004 bahawa Kelantan bersama negeri Terengganu dan Sabah telah mengeluarkan minyak bernilai lebih dari RM 46 Billion (Nilai Kiraan Kasar) iatu 76 peratus dari nilai keseluruhan minyak dalam negara.

Fakta itu jelas menyatakan bahawa minyak dari Kelantan telah diambil oleh Petronas, tetapi kenapa masih dinafikan oleh Mustapa.

Pemberian wang ehsan, membuktikan bahawa kerajaan BN dan Umno di Kelantan berdendam dengan rakyat dan Sultan kerana sudah 20 tahun menolak BN.

Ketika PAS Menang di Terengganu pada tahun 1999, serta merta Kerajaan BN menarik balik wang royalti dan mengantikannya dengan wang ehsan sebagai satu hukuman kepada rakyat Terengganu yang memilih PAS.

Baru-baru ini selepas BN berjaya menguasai Terengganu untuk penggal kedua, BN mulai cuba merubah taraf perjanjian itu kepada wang royalti semula.

Paling tidak disukai rakyat, wang ehsan yang selama ini diberikan telah disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan, bukan kepada Kerajaan Negeri.

Hal sama akan berlaku di Kelantan jika wang ehsan diberikan. Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan yang merupakan ‘Kerajaan Hantu BN’ di Kelantan akan bermaharajalela mengunakannya untuk meraih sokongan rakyat sebagai persiapan pilihanraya akan datang.

Kenyataan Mustapa bahawa Kerajaan BN menawarkan wang ehsan hanya kerana ingin menolong rakyat Kelantan yang tidak layak menerima royalti lantaran tiada minyak dikeluarkan merupakan satu pembohongan yang besar.

Jika benar BN ingin tolong rakyat kenapa dinegeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang jelas tiada minyak tidak diberikan wang ehsan?

Kenyataan Mustapa yang mengakui bahawa wang ehsan itu akan dipergunakan sepenuhnya untuk kempen ‘Umno Juara Rakyat’ menjelaskan lagi bahawa inilah agenda sebenar mereka hingga sanggup mensabotaj Kerajaan PAS yang dipilih rakyat Kelantan.

PAS mendesak supaya rakyat Kelantan terus menolak Umno, dan bangkit untuk menuntut hak mereka dalam bentuk royalti, bukannya wang ehsan.

Mustapa dan Umno merupakan pengkhianat rakyat bukan juara rakyat! kembalikan hak rakyat!