Archive for November, 2010

Royalti: Kelantan saman Petronas, tidak libatkan Pusat

November 7th, 2010 by Admin

Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menolak permohonan peguam Petronas agar kerajaan Pusat dilibatkan bersama dalam isu pertikaian hak royalti negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, penolakan itu dibuat kerana kerajaan negeri berpendapat kera

jaan Pusat tiada kena mengena dalam isu saman tersebut.

Saman tersebut, jelasnya hanya melibatkan Petronas yang melanggar perjanjian dengan kerajaan negeri.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri bagaimanapun bersetuju dengan permohonan mereka satu lagi iaitu memberi tempoh lanjutan mengemukakan afidavit pembelaan terhadap saman kerajaan negeri.

“Kita dah bincang dengan Menteri Besar, dan kita bersetuju untuk memberi masa lanjutan kepada Petronas untuk memfailkan afidavit pembelaan.

“Adapun berhubung penyertaan kerajaan pusat itu, kita bersetuju untuk menolak, kerana kita saman Petronas yang memungkiri kontrak, kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam hal ini,” katanya pada satu majlis di sini, semalam.

4 Oktober lalu adalah merupakan tarikh akhir bagi Petronas mengemukakan afidavit pembelaan mereka namun ianya belum dibuat.

Mereka bagaimanapun mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kelantan agar dilanjutkan tempoh tersebut.

Penjelasan itu juga merupakan perkembangan terbaru isu tersebut selepas Kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 30 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, banyak pihak menjangkakan isu tuntutan royalti ini menjadi topik utama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas pada 4 November nanti.

Isu ini juga menarik perhatian ramai apabila bakal memperlihatkan pendirian veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga disebut-sebut sebagai pengarah pilihan raya Umno BN bagi PRK Galas.

Beliau sebelum ini satu-satunya pemimpin Umno yang lantang menyokong tindakan kerajaan negeri menyaman Petronas menuntut hak royalti minyak.

Razaleigh tetap jadi “Saksi tuntutan royalti”

November 7th, 2010 by Admin

Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Tengku Razaleigh Hamzah tetap akan menjadi saksi berhubung tuntutan royalti minyak kerajaan negeri terhadap Petronas.

Katanya, kedudukan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Umno BN Dun Galas perkara yang berbeza dengan kedudukannya sebagai saksi dalam tuntutan royalti itu.

“PAS tidak akan berkompromi berhubung perkara itu, lawan tetap lawan,” ujarnya ketika menjawab soalan media kemungkinan PAS akan bertolak ansur dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata Umno Pusat tidak yakin dengan kemampuan sendiri menyebabkan pemimpin tertinggi parti itu bertegas meletakkan Ku Li yang anggota Parlimen Gua Musang sebagai pengarah pilihan raya kecil itu.

Tambahnya, tidak sebagaimana biasa, mana-mana pilihan raya kecil akan diketuai Timbalan Presiden Umno sendiri termasuk pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Katanya, oleh kerana Umno sendiri tidak yakin dengan peluang mereka di Dun Galas, menyebabkan mereka melantik Ku Li sebagai pengarahnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Dewan Harian PAS negeri di JKR 10, di sini petang tadi.

Ku Li: Saya sokong Abd Aziz, royalti minyak K’tan

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah membuktikan bahawa calon yang dipilih BN bagi pilihan raya kecil Galas menerima sokongan daripada beliau sendiri.

Lewat malam tadi, beliau hadir menemui sekumpulan penduduk di Kampung Baru, salah sebuah daripada dua daerah mengundi dengan majoriti pengundi Cina dalam DUN Galas.

Tindakannya juga memadamkan desas-desus bahawa beliau berkecil hati dengan tindakan BN mencalonkan Abdul Aziz Yusof.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang juga pengarah pilihan raya kecil BN di Galas, turut mengambil peluang untuk menjelaskan ketidakhadiran beliau ke pusat penamaan calon hari ini, selepas berbual-bual selama kira-kira 40 minit dengan penduduk setempat di sebuah restoran.

“Sebenarnya saya tak biasa ke pejabat DO tempat menyerah kertas penamaan calon. Ramai kawan-kawan saya yang akan bersama-sama calon untuk menyerahkan kertas penamaan calon.

“Jadi saya kata elok saya berada di luar untuk bersama-sama penyokong untuk kerja kita di merata tempat ke seluruh negara berhimpun di situ. Jadi tak semestinya semua orang ke sana. Tak jadi masalah. Itu saja,” jelasnya.

Beliau hanya ketawa kecil apabila diajukan pertanyaan oleh wartawan sama ada beliau berkecil hati sehingga tidak memasuki pusat penamaan calon semalam.

Turut hadir di pusat penamaan calon semalam ialah mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pemimpin lain yang pernah bersamanya ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

“Itu perkara biasalah nak cari sebab supaya nak laga-lagakan kita tapi takkan berhasil kerana calon ini calon yang saya sokong seratus peratus.

“Dia telah dipilih oleh jawatankuasa Umno bahagian semasa kita mengadakan rundingan dengan undi yang banyak sekali. Dan itulah nama yang saya kemukakan kepada Datuk Seri Najib supaya dia menentukan pilihan yang sebenar.

“Jadi dia membuat pilihan daripada apa yang diputuskan semua orang. Orang lain semua tak dapat undi seperti dia. Dia dapat undi terbanyak,” kata Tengku Razaleigh yang juga ketua Umno bahagian Gua Musang.

“Kita rasa kempen kali ini seolah-olah satu pertandingan ‘friendly contest’ (pertandingan persahabatan). Iyalah apabila berlaku pertandingan tidak berlaku ‘friendly contest’ lagi barangkali tetapi bagaimanapun saya ingin anjurkan ‘friendly contest’ sesama kita,” katanya.

“Satu hari anda bersahabat, satu hari anda jadi seteru, tapi tidak ada rugipun (kepada saya),” katanya lagi yang mesra dengan panggilan Ku Li.

Mengulas mengenai sokongannya kepada tuntutan royalti minyak oleh Kelantan, Tengku Razaleigh berkata beliau akan tetap dengan pendirian yang dinyatakan sebelum ini dalam isu tersebut.

“Penjelasan saya sudah cakap, saya rasa apa yang terpakai dalam undang-undang yang terpakai kita akan teruskan. Itulah pendapat saya,” katanya lagi.