Archive for November, 2011

Royalti: Muhyiddin cuba memulas tangan rakyat Kelantan

November 26th, 2011 by Admin

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu royalty minyak akan mudah di selesaikan jika PAS dan UMNO berada dalam satu pasukan. Moral politiknya ialah Muhyiddin sedang cuba mengumpan PAS untuk bersama UMNO dan bersatu bagi penyelesaian isu royalty minyak yang sedang di tuntut oleh kerajaan negeri Kelantan. Dengan ungkapan Muhyiddin ini ianya menjelaskan satu dua perkara kepada kita.

Pertamanya UMNO dan kerajaan persekutuan mengakui yang kerajaan negeri Kelantan ada hak ke atas royalty minyak seperti yang termaktub di dalam perjanjian yang ditanda tangani di antara pertronas dan rakyat negeri Kelantan pada bulan mei 1975 dahulu.

Keduanya sekarang kerajaan persekutuan mengakui yang hak itu boleh di perolehi jika PAS bersatu dengan UMNO dan isu itu diselesaikan setelah PAS bersama UMNO. Masalahnya perjanjian dalam perjanjian pada 27 hb Mei 1975 itu adalah di antara kerajaan dan rakyat Kelantan yang diwakili oleh Menteri Besar PAS semasa itu iaitu Dato Mohamad Nasir.

Saya telah menulis secara detail dalam posting saya dua tahun yang lepas dan saudara masih boleh membacanya jika saudara mengambil sedikit usaha untuk mencarinya di dalam archive blog ini. Jika kita kaji dalam, kita akan mendapat pelajaran perbezaan pemimpin dahulu dan sekarang. Muhyiddin nampaknya hendak menggunakan royalty minyak untuk mendapatkan sokongan PAS untuk membantu UMNO dalam parti itu (UMNO) sedang terdesak yang amat sangat.

Muhyiddin seorang Timbalan Perdana Menteri tidak faham atau saja-saja tidak mahu faham yang perjanjian itu adalah di antara petronas dan rakyat Kelantan, bukannya di antara UMNO dengan PAS. Semasa perjanjian itu ditanda tangani kerajaan Kelantan semasa itu adalah kerajaan pimpinan PAS yang di ketuai oleh Dato Mohamad bin Nasir sebagai MBnya.

Minyak yang di keluarkan di persisiran pantai Kelantan itu adalah kepunyaan rakyat Kelantan, tidak kira mereka ahli PAS, UMNO, MCA atau parti mana-mana sekali pun. Jelas dalam perjanjian itu yang Kelantan berhak menerima 5 peratus dari harga FOB minyak tersebut dan di bayar secara tunai dua kali setahun.; iaitu pada bulan Mac dan bulan September setiap tahun. Ini sudah ditanda tangani.

Kenyataan Muhyiddin itu membayangkan yang beliau tidak menghormati semangat persekutuan seperti yang termaktub di dalam perjanjian persekutuan pada tahun 1948 dahulu.

Walaupun Muhyiddin seorang Timbalan Perdana Menteri elok kita ingatkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu itu wujud hanya pada tahun 1948 setelah negeri-negeri yang berdaulat termasuk Kelantan bersatu dengan negeri-negeri lain dalam satu persekutuan yang di namakan Persekutuan Tanah Melayu dan selepas itu menjadi Persekutan Malaysia setelah Sabah dan Sarawak menjadi ahli-ahli baru kepada persekutuan itu.

Setiap negeri yang ada di dalam persekutuan ini adalah negeri-negeri yang berdaulat dan mempunyai Lagislatifnya sendiri. Kedaulatan negara Persekutuan Malaysia itu datangnya dari kedaulatan negeri-negeri yang berada di dalam persekutuan itu.

Di Putrajaya itu bukannya kerajaan pusat seperti negara-negara unitary, sebaliknya di Putrajaya itu adalah kerajaan Persekutuan. Takkanlah perkara yang begitu asas ini pun tidak di fahami oleh seorang Timbalan Perdana Menteri yang sedang berusaha hendak menjadi PM dalam masa yang singkat ini.

Oleh kerana itu kerajaan persekutuan mesti menghormati rakyat negeri Kelantan yang berdaulat itu dan menghormati perjanjian pada Mei 1975 itu sebagai satu perjanjian dengan sebuah negeri dan rakyat yang berdaulat.

Kerajaan persekutuan tidak payah bersatu dengan PAS untuk memberikan royalty itu kerana perjanjian itu tidak kena mengena dengan PAS atau UMNO. Ianya perjanjian di antara petronas dengan rakyat Kelantan. Parti mana pun yang memerintah di Kelatan itu berhak untuk mendapatkan royalty seperti yang telah di tanda tangani itu.

Kalau party KITA yang memerintah negeri Kelantan rakyat Kelantan tetap berhak ke atas royalty minyak itu. Begitu juga kalau party UMNO, MCA, MIC atau parti Cinta Malaysia yang mentadbir negeri Kelantan rakyat Kelantan tetap berhak ke atas royalty minyak itu seperti yang termaktub di dalam perjanjian bulan Mei 1975 itu.

Tindakan Muhyiddin berkata-kata seperti ini menunjukan sifat UMNO itu sendiri. Muhyiddin seolah olah memberi tahu rakyat Kelantan, “Kamu ada duit royalty minyak. Kalau kamu mahukan wang royalty itu kamu mesti sokong UMNO atau bekerja sama dengan UMNO. Kalau tidak aku takkan bagi duit kau yang ada pada ku” Lain-lain perkataan Muhyidin sedang cuba untuk memulas tangan rakyat Kelantan untuk menyokong UMNO.

Tetapi rakyat Kelantan mempunyai maruah. Mereka tidak termakan dengan ugutan seperti itu. Mereka tahu hak mereka sedang di rampas oleh kerajaan persekutuan. Mereka juga tahu kerajaan persekutuan tidak menghormati kedaulatan rakyat Kelantan.

Mereka tahu kerajaan persekutuan telah merampas hak mereka. Untuk mendapatkan hak mereka itu mereka tahu caranya; iaitu menolak UMNO sebagai pemerintah kerajaan persekutuan. Waktu untuk melakukannya ialah semasa pilihanraya umum yang akan datang. Rakyat Kelantan tahu yang kerajaan persekutuan sedang memeras mereka dan mereka juga tahu yang usaha mereka itu akan berjaya jika di izin Tuhan.

Rakyat Kelantan juga tahu yang kerajaan persekutuan bersikap seperti sikap Malayan Union terhadap negeri-negeri Melayu dahulu. Kalau Malayan Union dulu adalah ciptaan Inggeris sikap ala Malayan Union terhadap Kelantan itu di lakukan oleh bangsanya sendiri. Itu sahaja perbezaannya.

Penarikan balek wang royalty minyak ini dimulakan oleh Dr Mahathir pada tahun 1999 dahulu apabila Terengganu jatuh ketangan PAS dan menggantikannya dengan wang ehsan yang dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Etika dan undang-undang tidak lagi dihormati dan sekarang ianya menjadi ikutan kepada pemimpin-pemimpin selepas beliau. Saya tidak nampak undang-undang boleh menyelesaikan isu ini kerana badan kehakiman sendiri boleh dibicarakan oleh UMNO sejak 1988 dahulu.

Hanya satu cara sahaja yang membolehkan isu ini dapat di selesaikan; iaitu dengan memberikan mandat untuk memerintah kepada pihak yang lain, dan waktunya sudah hampir tiba.

 

Sumber: http://aspanaliasnet.blogspot.com

Batal Darurat: Kelantan berhak dapat Royalti

November 26th, 2011 by Admin

Fakta Tuntutan Royalti Yang Perlu Diketahui

November 26th, 2011 by Admin

FAKTA TUNTUTAN ROYALTI MINYAK DAN GAS KELANTAN.

A. UNDANG-UNDANG DAN PERJANJIAN DILANGGARI OLEH KERAJAAN PERSEKUTUAN.

– Tahun 1974 – Akta Kemajuan Petroleum 1974 dibentuk di Parlimen dan mengantikan Ordinan Darurat 1969 berkaitan pemberian Royalti Minyak 5% dan jarak perairan laut Negeri-Negeri. Seksyen 13

(1) Akta Darurat Kuasa-kuasa Perlu 79 telah pun memansuhkan penggunaaan pemakaian ordinan darurat kuasa-kuasa perlu 1969 dan oleh itu ordinan tersebut adalah tidak relevan.

– Pada 9 Mei 1975 – Kerajaan Negeri Kelantan telah menandatangani Perjanjian di bawah akta 144 Petroleum Development Act 1974. Perjanjian tersebut bertajuk, “Grants of Rights, Powers, Liberties and Privileges in respect of Petroleum”. Beberapa buah negeri telah menandatangi perjanjian dengan PETRONAS dan Kerajaan Malaysia menyerahkan hak mereka dengan PETRONAS dijanjikan akan membayar sebanyak 5% secara tunai dari hasil Petroleum dan Gas Asli terus kepada Negeri-Negeri tersebut.

[NOTA: Berdasarkan perjanjian itu Negeri Terengganu mendapat imbuhan royalti minyak walaupun pelantar minyaknya jauh lebih 161 Kilometer ke tengah Laut China Selatan.]

– 12 Noember 1975 – “Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% drpd nilai Petroleum yang dijumpai dan diperolehi dlm kwsn perairan (onshore) atau diluar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”
– Kenyataan Mantan Perdana Menter, Arwah TUN Razak (Bapa Najib). Menjawab soalan Lim Kit Siang di Dewan Negara.

B. HAK PENDARATAN MINYAK KE PERAIRAN KELANTAN DINAFIKAN BAGI KAWASAN MEDAN JDA DENGAN PEMBINAAN PAIP MINYAK DI SONGKLA, THAILAND, WALAUPUN JARAK KOTA BHARU LEBIH DEKAT 110KM.

– Tahun 2005 – Kawasan Joint Development Area (JDA) Malaysia-Thailand (dalam perairan Kelantan) telah beroperasi projek di Telaga Cakrawala telah bermula sejak 2005 terletak hanya 150 kilometer dari Bandar Kota Bharu. Ianya terletak 180 dari Pekan Pattani (atau 160 km dari perairannya), 260 km dari Bandar Songkhla dan 310 km dari Pekan Kerteh.

– Jarak 150km dari Kota Bharu ke kawasan pengeluaran minyak & gas di JDA tetapi paip menyalurkan minyak didaratkan ke Songla yang jaraknya 260km dari JDA (beza 110km) – Penafian HAK Kelantan buat kali pertama!

– Jarak 166km telaga minyak diperairan Terengganu didaratkan di Kerteh, Terengganu. Kenapa Kelantan yang jaraknya hanya 150km dari JDA dinafikan hak?

C. SEKALI LAGI HAK NEGERI KELANTAN INGIN DINAFIKAN OLEH KERAJAAN PERSEKUTUAN DENGAN MENDARATKAN MINYAK KELANTAN KE TERENGGANU.

– 24 Ogos 2011 – PETRONAS mengumumkan pendaratan dan pembinaan loji pemprosesan gas di Kerteh, Terengganu dgn nilai RM15Billion meliputi pemasangan paip dilautan sepanjang 200km dan dijangkan siap 2013.

– 2 telaga minyak iaitu Telaga Bumi dan Telaga Surya dari Blok PM301, North Malay Basin yang berada di perairan Kelantan.

– 60,000 tong sehari pengeluaran di kedua2 telaga.

– USD80 setong harga minyak mentah minimum mengikut pasaran dunia.

– 21.6 juta tong setahun pengeluaran dari kedua-dua medan dan boleh mencapai RM5.24 billion setahun.

– RM262 JUTA setahun yang patut Kelantan terima jika royalti 5% diberikan kepada Kelantan.

Sebagai Rakyat Kelantan dan Rakyat Malaysia, saya menyeru seluruh rakyat Kelantan bersatu padu dan bangkit menuntut HAK ROYALTI minyak+gas dan HAK PENDARATAN minyak dan gas di bumi Kelantan demi kedaulatan Negeri, kemakmuran ekonomi anak bangsa hadapan.

Ayuh Rakyat kita BANGKIT! Royalti Hak Rakyat Kelantan, Tuntut Sampai Dapat!

Disusun oleh;

Syam Ghaz
Setiausaha
Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR)

Galeri: Rombongan “Amanat Tun Razak” di Parlimen

November 17th, 2011 by Admin

GEGAR dengan kerjasama beberapa Aktivis dan Pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan telah berlepas ke Parlimen Malaysia untuk menyerahkan Dokumen Amanat Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak berkenaan Perjanjian Royalti Petroleum Kelantan.

royalti minyak Kelantan

[gallery]

Awang Adek berniat jahat tolak amanat Tun Razak

November 16th, 2011 by Admin

Tindakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang menolak poster amanat bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak oleh skuad Gegar sebagai tindakan ‘jahat’.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata tindakan timbalan menteri dari Kelantan itu berniat jahat untuk menafikan hak kerajaan dan rakyat di negeri ini mengikut perundangan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas reaksi Awang Adek yang menolak menerima poster yang antaranya mengandungi ucapan allahyarham Tun Abdul Razak berhubung hak negeri itu untuk mendapatkan royalti sebanyak lima peratus.

Katanya, tuntutan itu memang wajib dilakukan kerana ianya menjadi hak kerajaan negeri memandangkan hasil minyak terdapat dalam perairan Kelantan.

Tuan Guru berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis solat hajat dan pecah tanah sempena projek naik taraf Loji Rawatan Air Wakaf Bunut, Pasir Putih, dekat sini tengah hari tadi.

“Kalau Terengganu dibayar royaltinya kerana minyak diambil dari negeri itu, begitu juga dengan Kelantan, hasil minyak juga diambil dari bumi Kelantan,” ujarnya.

Pada 10 November lalu, Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Kelantan (Gegar) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti ke Parlimen untuk menyerahkan poster tersebut kepada pihak kerajaan Pusat.

Setiausaha Gegar, Muhammad Hishammuddin Ghazali, berkata malangnya, poster berkenaan ditolak oleh Dr Awang Adek apabila ianya diserahkan kepada timbalan menteri tersebut.

“Sebanyak dua kali kami memberikan poster tersebut, kedua-duanya dia menolak dengan kasar, tak payah,… tak payah… sambil menolak poster yang diberikan.

“Kali kedua kami memberikan padanya dia kata lagi “tak payah… tak payah… ini semua kerja politik,” ujar Hishamuddin lagi.

Hishammudin melahirkan rasa kesal terhadap tindakan timbalan menteri yang berasal dari Kelantan sendiri berhubung tuntutan hak itu.

Katanya, sepatutnya sebagai orang yang berasal dari Kelantan menyokong apa yang diperjuangkan kerana ianya untuk kemajuan rakyat di negeri itu sendiri.

“Di sini jelas menunjukkan kepada kita, isu royalty minyak yang masih gagal diperolehi kini dikhianati oleh orang Kelantan sendiri.

“Mana bukti yang mengatakan untuk membantu rakyat Kelantan, mana slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

 

Harakahdaily

Mahasiswa: Tiada sebab rakyat Kelantan dinafikan

November 15th, 2011 by Admin

Tidak ada sebab kenapa rakyat Kelantan dinafikan hak mereka untuk menerima wang saku hasil dari bumi mereka, kata Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan.

“Gamis yakin anak muda dan mahasiswa pada hari ini celik dan sedar apa yang berlaku seolah orang yang membajak tanah rumah kita untuk pertanian namun yang mendapat hasil dan tuaian ialah rumah jiran sebelah,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, isu royalti minyak adalah suatu tuntutan asasi dan perjuangan hak rakyat Kelantan.

Tambahnya, terbaru ialah penemuan Telaga Surya dan Telaga Bumi dari Blok PM 301, North Malay Basin yang mengeluarkan 60,000 tong sehari atau 21.6 juta tong setahun.

Katanya, pendapatan keseluruhan dua telaga ini adalah sebanyak RM5.24 billion setahun mengikut harga pasaran minyak mentah dunia dengan andaian harga minima USD80.00.

“Sekiranya 5% royalti diberikan, ini bermaksud RM262 juta setahun dapat dinikmati oleh rakyat Kelantan,” katanya.

Menrutunya, projek pembinaan lebuhraya yang sangat ditunggu-tunggu dan menjadi keperluan rakyat boleh dilaksanakan segera jika wang royalti itu diberikan.

Hal ini, ujarnya termasuk juga bantuan rakyat termiskin dan program pembangunan lain dapat dilaksanakan.

Lebih menyedihkan, tambahnya ialah apabila ada nyawa yang terkorban dalam usaha menuntut royalti rakyat Kelantan ini.

Ini ekoran bekas Presiden Gamis dan aktivis masyarakat, iaitu Allahyarham Saudara Kamarulzaman Abdullah yang terlibat dalam kemalangan maut setelah pulang dari menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat minggu lalu.

“Kami mendesak agar pihak kerajaan pusat menilai dan pertimbangkan hak rakyat Kelantan ini tanpa sempadan politik dan mengutamakan keperluan rakyat daripada parti yang memerintah.

“Jika Perdana Menteri dapat tunaikan hasrat rakyat Kelantan ini, baru kami rasa slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ boleh digunapakai dalam pentadbiran kerana situasi sekarang ialah ‘rakyat dipinggirkan, pencapaian politik diutamakan’ akibat kepentingan yang ada,” katanya. —

Video: Kenyataan Media Datuk Husam Musa di Parlimen

November 14th, 2011 by Admin

Gas Asli di Perairan Kelantan cuba dimanipulasi.

Menurut laporan terbaru PETRONAS, Gas Asli yang berada di perairan Kelantan yg terletak  di Telaga Bumi & Telaga Suria (Blok PM301 – North Malay Basin) sudah mula dikeluarkan, menurut laporan PETRONAS pada 24 september 2011 mereka ingin mendaratkan hasil bumi ini di Kerteh, Terengganu dengan membina paip sejauh 200km. Pengeluaran gas sudah bermula sejak April 2011 dan diumumkan oleh PETRONAS pada tahun ini juga.

Kenapa perkara ini berlaku? Sedangkan pihak Kerajaan Negeri Kelantan SUDAH menyediakan 2000 ekar tanah di Daerah Bachok, Kelantan untuk tujuan pendaratan minyak dan gas di Negeri Kelantan.

Cuba bayangkan jika hasil gas dan minyak ini didaratkan di perairan Kelantan, kemakmuran & hasil ekonomi Negeri serta rakyat akan berubah. Ini adalah diskriminasi & kezaliman Kerajaan BN yang dilakukan sejak sekian lama, adalah menjadi kewajipan kita untuk menentang segala kezaliman ini, demi masa depan anak & keturunan kita!

Allahyarham Kamalruzaman yang saya kenal

November 14th, 2011 by Admin

Oleh: Rossem
Dua hari sebelum kembali ke Rahmatullah, sering saya berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengannya seputar kerja. Saat menerima berita kecelakaan jalan raya yang meragut nyawanya, sms itu belum delete, justeru saya terkejut amat sangat bahkan seperti tidak percaya khabar duka yang diterima selepas pulang solat Jumaat, 11 November 2011 benar-benar satu realiti.

Allahyarham, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur sibuk menyiapkan dokumen yang dijadikan poster yang menarik mengenai tuntutan royalti minyak yang akan diserahkan
kepada Perdana Menteri di parlimen 11 November.

Poster petikan ucapan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak ketika menjawab pertanyaan YB Lim Kit Siang di Dewan Rakyat tanggal 12 November 1975.
Antara Intinya ialah “Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut yang dijual PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya”.

Poster itu juga memuatkan petikan ucapan Menteri Besar Kelantan (1976-1990), Dato’ Haji Mohamad Yaacob, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Kasitah Gaddam (4 April 1989) dan Perdana Menteri Malaysia sekarang, Datuk Seri Haji Najib di Dewan Rakyat (4 November 2009).

Selanjutnya, Allahyarham mahukan poster itu dimuatkan dalam laman iklan akhbar Sinar Harian. Kebetulan saya penyalaras ruang iklan yang beli Kerajaan Kelantan melalui Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Iklan berbayar, satu muka surat itu terbit dua kali seminggu iaitu setiap Ahad dan Khamis, edisi Timur.

Allahyarham benar-benar mengharapkan saya dapat memuatkan poster itu mengikut tarikh yang yang sama dengan hari penyerahan Amanat Tun Razak di parlimen pada 10 November 2011.

“Saya dah sent tadi. Pak Rossem dawnload. Terima kasih” beritahunnya melalui sms setelah saya memintanya mengirim artwork poster yang sudah siap direkabentuk.

Seterusnya ia menyambung “Ya, 10 November saja, kita nak nasional sebab kita mahu semua rakyat Malaysia tahu pasal ucapan Tun Razak. Itu pun kalau Sinar Harian berani publish. Kalau Sinar Harian tak berani, harap Pak Rossem ejas ayat-ayat mana yang depa tak selesa, bagi depa selesa..Terima kasih”

Saya memberitahunya bahawa harga iklan akan berganda jika untuk edaran nasional, hal ini perlu maklumkan lebih dahulu kepada Pengarah Urusetia Penerangan, minta kebenarannya.

Allahyarham membalas sms saya “ Ambo dah tanya Ustaz Man (pengarah), boleh tak untuk keluaran 10 Nov sahaja, di upgrade jadi nasional dan colour. Dia setuju, Pak Rossem boleh ejas ke untuk 10 Nov itu?”

Komitmen Allahyarham tentang kerja sangat tinggi. Harapannya agar Amanat Tun Abdul Razak tersebar luas, dapat dibaca dan diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia memang satu usaha yang sangat mengagumkan.

Dan saya telah tunaikan permintaan Allahyarham. Iklan seperti yang dimintanya telah terbit dalam Sinar Harian tanggal 10 November, walaupun pada mulanya tak diluluskan untuk siaran oleh editor akhbar tersebut, namun setelah puas merayu dan campurtangan Pengarah Urusetia Negeri dengan melakukan sedikit perubahan, akhirnya dimuatkan.

Maka benarlah seperti diungkapkan bossnya, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Haji Husam Musa “Semua urusan tuntutan royalti telah diurus oleh Allahyarham dengan baik dan penuh amanah demi untuk kesejahteraan rakyat Kelantan”

“Allahyarham seorang pegawai saya yang amanah, jujur, rajin berusaha terutama dalam tuntutan royalti. Dia yang banyak menyelidik, mencari bahan bukti dan memang dia wira.”

Kamaruzaman Haji Abdullah, 31, Pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Kelantan, YB Dato’ Haji Husam Musa meninggal dunia dalam tugas sewaktu dalam perjalan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, selepas menghadiri majlis penyerahan ‘Amanat Tun Razak’ kepada perdana menteri di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti minyak.

catatan asal: http://demitinta.blogspot.com/2011/11/allahyarham-kamalruzaman-yang-saya.html

Video: Rombongan GEGAR ke Parlimen

November 13th, 2011 by Admin

GEGAR dengan kerjasama beberapa Aktivis dan Pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan telah berlepas ke Parlimen Malaysia untuk menyerahkan Dokumen Amanat Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak berkenaan Perjanjian Royalti Petroleum Kelantan. Dalam Video ini kita boleh lihat jelas Pemimpin UMNO Kelantan yang tidak menyokong tuntutan rakyat ini. Apa yang boleh kita harapkan daripada Pemimpin sebegini?

Allahyarham Kamarulzaman ‘wira royalti’ Kelantan

November 11th, 2011 by Admin

KOTA BHARU, 11 Nov: Anggota Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, menyifatkan, pegawai khasnya, Allahyarham Kamarulzaman Abdullah, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Paloh kira-kira 2.30 pagi tadi sebagai wira royalti.

Menurutnya, semua urusan tuntutan royalti telah diurus oleh Allahyarham dengan baik dan penuh amanah demi untuk kesejahteraan rakyat Kelantan.

“Allahyarham seorang pegawai saya yang amanah, jujur, rajin berusaha terutama dalam tuntutan royalti ini.

“Dia yang banyak menyelidik, mencari bahan bukti dan memang dia wira termasuk sahabatnya yang turut cedera dalam kemalangan itu,” ujarnya.

Husam berkata demikian ketika ditemui selepas solat jenazah di rumah keluarga allahyarham di Kampung Kota, di sini tengahari tadi.

Selepas itu, jenazah dibawa ke Masjid Kampung Kota untuk disolatkan kali ketiga sebelum di kebumikan di perkuburan Islam Tok Panjang, dekat sini.

Sebelum ini Husam sendiri mengimamkan solat jenazah di rumah keluarga allahyarham di sini.

Allahyarham berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Husam sejak tiga tahun lalu.

Allahyarham merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Kota Bharu, Anggota Exco Pemuda PAS Negeri serta beberapa lagi jawatan lain.

Allahyarham Kamarulzaman, 32, terlibat dalam kemalangan maut ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero yang dinaikinya, bertembung dengan sebuah kereta Produa Myvi di kilometer 40 jalan Kuala Krai-Gua Musang

Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang dari Kula Lumpur selepas menghadiri majlis penyerahan ‘Amanat Tun Razak’ kepada perdana menteri di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti semalam.

Bagaimanapun, dua orang lagi rakannya Penolong Pengurus Sumber Manusia PKINK Mohd Roslan Mohd Zain cedera dikepala pegawai di Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ridwan Elias hanya cedera ringan.

Roslan yang juga suami kepada kakitangan Harakah Cawangan Kelantan (Noraisiah Deraman), mulanya dirawat di Hospital Kuala Krai kini mendapat rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab ll, Kota Bharu manakala Ridwan kini dibenarkan pulang.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman yang turut hadir pada majlis pengebumian itu mengucapkan takziah pada anggota keluarga.

“Semoga Allah menempatkan allahyarham di tempat orang yang soleh,”ujarnya.

Turut menziarahnya Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Pembantu khas Husam meninggal dunia

KUALA KRAI, 11 Nov: Pembantu khas kepada Datuk Husam Musa, Kamarulzaman Abdullah(gambar, berdiri kiri) meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya terbabit kemalangan dekat Paloh di sini awal pagi ini.

Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, beliau bersama dua lagi rakannya menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero, bertembung dengan sebuah kereta Produa Myvi di kilometer 40 jalan Kuala Krai-Gua Musang.

Mereka ketika itu dalam perjalanan pulang dari Kula Lumpur selepas menghadiri majlis penyerahan ‘Amanat Tun Razak’ kepada perdana menteri di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti Kelantan.

Akibat kemalangan itu, beliau yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah Allahyarham kini dibawa ke Hospital Gua Musang.

Dua lagi rakannya Roslan Mohd Zain juga cedera di kepala dibawa ke Hospital Kula Kerai manakala Ridwan Elias hanya mengalami mengalami cedera ringan.

Pemandu dan penumpang Myvi juga cedera parah dan turut dibawa ke Hospital Kula Kerai untuk rawatan lanjut.

Solat jenazah allahyarham akan diadakan di rumah ayahnya di Batu 4 Wakaf Che Yeh selepas solat Jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Panjang, Kampung Kota.

Allahyarham yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Kelantan, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

Sementara itu, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa yang kini dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarulzaman.

“Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan mereka yang beriman…Al-Fatihah,” katanya.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarulzaman.