Archive for March, 2012

Hakim Ada Pertalian, Rayuan Kelantan Ditangguh 26 April

March 26th, 2012 by Admin

PUTRAJAYA, 26 Mac: Pendengaran rayuan Kerajaan Kelantan berkenaan penzahiran dokumen (discovery) royalti petroleum dengan Petronas ditangguhkan pada 26 April depan.

Penangguhan itu disebabkan salah seorang Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin yang bersidang hari ini mempunyai pertalian keluarga dengan defenden.

Menurut salah seorang peguam bagi pihak Kerajaan Kelantan, Cik Shikin, Alizatul merupakan adik kepada salah seorang defendan yang memfailkan afidavit itu.

“Jadi kita tidak boleh dengar kes itu hari ini sebab nanti akan berlaku ‘conflict of interest’, kerana ada pertalian keluarga jadi kita minta tarikh lain,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, penzahiran dokumen itu dibuat di Mahkamah Tinggi di mana Hakim Zabariah Mohd Yusof memutuskan tidak perlu dedahkan dokumen itu kepada Kelantan, bagaimanapun Kerajaan Kelantan melalui peguamnya Thomy Thomas tetap mahukan dokumen itu.

Dalam writ saman yang difailkan pada 30 Ogos 2010, kerajaan negeri Kelantan menuntut supaya Petronas melaksanakan perjanjian petroleum bertarikh 9 Mei 1975 setelah mendakwa defendan secara salah melanggar kewajipannya.

Kerajaan negeri itu mendakwa telah menandatangani Perjanjian Petroleum Kelantan bertarikh 9 Mei 1975 yang ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohamed Nasir dengan bekas Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Turut mengikuti kes itu di mahkamah ialah Ahli Parlimen Rantau Panjang dan Pasir Puteh, Siti Zailah Mohd Yusof dan Muhammad Husain serta wakil Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Rakyat Kelantan.

Kenyataan Media – Rayuan Pertroleum Kelantan Lawan Petronas

March 26th, 2012 by Admin

Kenyataan Media YB Dato’ Husam

3 Jamadilawal 1433 H / 26 Mac 2012

 

Kelantan Bantah Hakim Pendengaran Rayuan Penzahiran Dokumen Royalti Petroleum Dengan Petronas

Pendengaran penzahiran dokumen (discovery) sepatutnya berlangsung pagi tadi.Pihak Kelantan meminta petronas untuk bekalkan semua dokumen berkenaan cari gali minyak di Kelantan tetapi Petronas enggan.

Mahkmah tinggi tahun lalu telah putuskan bahawa tidak perlu Petronas dedahkan dokumen tersebut. Pendengaran pagi tadi pula adalah rayuan untuk mengarahkan Petronas untuk menyerahkan semua dokumen yang diperlukan atau tidak.

Proses pendengaran rayuan penzahiran dokumen (discovery) yang berlangsung pagi ini di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman Putrajaya terhenti dengan bantahan oleh peguam Kelantan terhadap panel hakim. Hakim Alizatul Khair Bt Osman Khairudin adalah adik kepada affirm affidavit (peguam) Petronas, Dato’ Azhar b Osman Khairudin.

Bantahan dibuat pagi tadi dengan meminta panel lain bagi menggantikan hakim Alizatul Khair bagi pendengaran kes tanpa ada sebarang bantahan daripada panel hakim. Kes ditetapkan pengurusan 3 April 2012 untuk mendapatkan tarikh pendengaran baru rayuan.

Cadangan tarikh pendengaran rayuan Penzahiran dokumen (discovery) semula adalah pada 26 April bersekali dnegan pendengaran Aturan (Order) 14A. Kebiasaan keputusan akan diberi sejurus selepas pendengaran tetapi ada kemungkinan juga yang panel hakim akan minta tarikh lain untuk benarkan mereka berbicang sebelum membuat keputusan.

Sebarang keputusan akan dimaklumkan semula melalui penguam Kelantan Tommy Thomas.

Sekian, terima kasih

 

Dato’ Husam Haji Musa

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan

Pendengaran Rayuan Kelantan (discovery) Royalti

March 24th, 2012 by Admin

Pendengaran rayuan Kelantan berkenaan Penzahiran Dokumen (Discovery) tuntutan Royalti Kelantan terhadap Petronas akan berjalan sebagaimana berikut:

Tarikh : 26 Mac 2012 / Isnin

Masa : 9 pagi

Tempat : Mahkamah Putrajaya

Semua Dijemput hadir, terima kasih.

 

Dengan Hormat,

Dato’ Husam Haji Musa

Sultan: Daratkan segera minyak di Kelantan

March 3rd, 2012 by Admin

KOTA BHARU– Sultan Kelantan KDYMM Sultan Muhammad V telah berkenan berangkat ke perasmian Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Dewan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-12 semalam.

Istiadat berlangsung di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Kota Darulnaim. Turut serta berangkat adalah Tengku Mahkota Kelantan Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail.

Sempena istiadat tersebut, Sultan Muhammad V bertitah gas asli yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM301) Malay Basin sudah mulai dikeluarkan.

“Beta berharap gas ini dapat didaratkan di negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan zon indutri petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun 1990-an lagi,” titah baginda.

 

Keberangkatan Sultan Muhammad V ke Istiadat

Sultan Muhammad V bertitah purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Kelantan bagi tempoh 2008 hingga 2010 adalah yang ke-3 tertinggi di Malaysia selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

Baginda berharap agar pencapaian ini dikekal dan ditingkatkan lagi dengan mengambil langkah-langkah strategik yang boleh diambil dalam sektor-sektor tertentu.

Baginda juga berharap projek-projek yang telah dirancang dilaksanakan di negeri ini melalui Rancangan Malaysia Ke-10 dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Titah baginda bagi RMK-10 yang bermula 2011 hingga 2015 menggunakan pendekatan format pelan pusingan (rolling plan) yang dilaksanakan sejak tahun lepas memfokus pembangunan tempoh dua tahun.

“Pembangunan kepada tempoh dua tahun berdasar keupayaan kewangan semasa kerajaan Persekutuan.

“Beta berharap projek-projek yang telah dirancang untuk Kelantan melalui RMK-10 dapat dilaksanakan sepenuhnya,” titah baginda pada perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dun Kelantan ke-12 semalam.

 

Sultan Muhammad V berkenan memeriksa perbarisan kehormat sempena perasmian Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Dewan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-12 di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Kota Darul Naim

 

Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V disambut oleh Menteri Besar, Datuk Bentara Setia Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Menurut baginda juga pada tahun lepas Kelantan menerima pelaburan hampir RM1.4 bilion meliputi bidang hartanah, pertanian, pembuatan dan tenaga diperbaharui.

Oleh itu baginda berharap kemasukan pelaburan tahun ini akan meningkat dengan adanya kemudahan pangkalan bekalan di Tok Bali yang dijangka siap pembinaan tahun ini.

Selain itu pembangunan Bandar Baru Tunjung semakin rancak, di samping rakyat akan menerima kesan berganda daripada projek-projek yang dilulus tahun lepas.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan sentimen agama yang bakal mengundang bahaya kepada negara.

Titah baginda, polemik berhubung agama harus diurus dengan cermat dan berhemah serta bijaksana kerana isu berkaitan agama mampu membakar perasaan semua pihak.

“Jangan menyuarakan pendapat yang boleh membakar perasaan penganut agama lain yang akan mengundang perpecahan, perbalahan, permusuhan malah peperangan.

“Namun perkembangan mutakhir membimbangkan beta. Keharmonian di kalangan penganut agama yang berbeza semacam sedikit tercalar. Ini berlaku kerana ada pihak-pihak yang berkepentingan menangguk di air yang keruh,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-12 Tahun 2012 di Kota Darulnaim di sini.

Baginda bertitah memang benar Islam adalah agama rahmat kepada seluruh manusia dan dasar pemerintahan Islam tidak sama sekali menolak kepentingan penganut agama lain.

“Beta ingin mengingatkan kepada semua pihak sama ada di kalangan umat Islam atau kalangan bukan Islam, dalam sebuah negara seperti Malaysia yang penduduknya berbilang kaum, berbilang anutan agama, setiap perkara itu perlu diambil kira agar tidak mengundang bencana,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menyentuh mengenai isu air dengan meminta kerajaan negeri Kelantan memberi perhatian terhadap usaha membangunkan strategi jangka panjang bagi pengurusan sumber air di negeri itu untuk memastikan bekalan air yang terjamin kepada seluruh rakyat.

Titah baginda, pelaksanaan projek oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd kini membabitkan kerja menaik taraf 11 loji rawatan air dan pemasangan paip utama sepanjang 500 kilometer yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

“Beta mendapat maklum bahawa jumlah penduduk yang menerima bekalan air bersih di negeri Kelantan telah bertambah hampir tujuh peratus pada 2011 berbanding pada tahun sebelumnya,” titah baginda.

Sultan Muhammad V

Baginda juga turut berharap agar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dapat dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh masa terdekat.

“Pergerakan penumpang pada 2011 di lapangan terbang ini telah meningkat kepada kira-kira 1.13 juta penumpang. Jumlah pergerakan penumpang ini adalah yang tertinggi di antara lapangan terbang di Pantai Timur. Jumlah ini melibatkan penerbangan tiba dan berlepas secara puratanya adalah sebanyak 40 kali sehari,” titah baginda.

Selain itu baginda juga berharap kemasukan pelaburan yang akan diterima Kelantan pada tahun ini akan meningkat dengan adanya kemudahan pangkalan bekalan di Tok Bali, Pasir Puteh yang dijangka siap tidak lama lagi.

Mengenai Tahun Melawat Kelantan pada tahun ini, baginda berharap Pusat Penerangan Pelancongan Negeri meneruskan promosi pelancongan sama ada di dalam dan luar negara.

“Komitmen pelbagai agensi kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan amat diperlukan bagi mencapai sasaran kejayaan program pelancongan ini.

“Antara peranan penting yang boleh dimainkan pihak berkuasa tempatan itu ialah mewujudkan persekitaran yang bersih dan indah,” titah baginda.