Archive for December, 2013

Kenyataan Media: Menyambut Baik Perletakan Jawatan Dr. Mahathir Sebagai Penasihat Petronas

December 4th, 2013 by Admin

Rakyat sambut baik perletakkan jawatan Tun Dr Mahathir Muhammad sebagai penasihat Petronas.

Pertubuhan R (ROYALTI) menyifatkan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Muhammad selaku Penasihat Petronas sebagai khabar yang amat mengembirakan bagi seluruh rakyat di negeri-negeri pengeluar petroleum seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak. Kini rakyat mengharapkan suatu lembaran baru dalam industri petroleum negara.

Rentetan pendedahan yang dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkenaan dasar Petronas yang tidak membela ekonomi orang-orang Melayu, R menegaskan sekali lagi, bahawa kami amat menyokong dan bersetuju dengan pendedahan dan fakta-fakta yang ditunjukkan.

Semasa era pemerintan Tun Dr Mahathir Muhammad sebagai Perdana Menteri Malaysia selama lebih 20 tahun dan diteruskan lagi legasi penguasaan Tun Dr Mahathir Muhammad di dalam Petronas sebagai Penasihat Petronas selama lebih 10 tahun. Selama tempoh lebih 30 tahun tersebut, bukan sahaja umat Melayu yang menjadi mangsa dianak tirikan oleh pihak Petronas, tetapi sebenarnya seluruh rakyat di negeri-negeri pengeluar petroleum dinafikan hak untuk menerima pembangunan dan manfaat kekayaan negeri mereka seperti yang sepatutnya lantaran penafian hak bayaran royalti sebagaimana perjanjian.

Di antara negeri-negeri tersebut, negeri Kelantan adalah negeri yang paling malang sedangkan Kelantan adalah satu-satunya negeri yang populasi penduduknya lebih 95% adalah kaum Melayu dan beragama Islam.

Tanpa menafikan perkara-perkara baik yang telah dilakukan oleh pihak Petronas di bawah Penasihat sebelum ini, fakta membuktikan bahawa selama ini :-

1. Petronas melanggar Perjanjian Petroleum dengan Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975. Antara perkara paling penting di dalam perjanjian-perjanjian tersebut adalah:-

i. Petronas wajib membayar Royalti sebanyak 5% daripada nilai pengeluaran dan ianya perlu dibayar 2 kali setahun kepada negeri-negeri pengeluar petroleum.

ii. Tunggakan bayaran royalti untuk negeri Kelantan kini telah mencecah lebih RM12 billion (RM 12 ribu juta).

2. Penafian dari sudut hak untuk mengembangkan ekonomi negeri. Petronas telah melarikan hasil bumi Kelantan ke negeri-negeri lain. Rakyat Kelantan tuntut hasil bumi mereka untuk didaratkan dan diproses di bumi mereka.

i. Daratkan Gas dan Minyak milik Kelantan ke Bachok yang jaraknya dari pelantar adalah lebih dekat iaitu hanya 180KM sahaja berbanding jarak ke Kerteh, Terengganu sejauh 320KM.

ii. Daratkan gas dari kawasan Joind Development Area (JDA) ke Bachok, Kelantan dan bukannya ke Chenai, Shongkhla, Thailand yang jaraknya sejauh 220KM. Yang menyedihkan adalah gas ini kemudiannya disalurkan kembali ke Malaysia yang melibatkan kos yang terlalu tinggi berbanding ianya diproseskan di Bachok, Kelantan.

iii. Daratkan Gas Kelantan di North Malay Basin yang ingin didaratkan ke Tg Agas, Pekan, Pahang.

Pada masa yang sama juga Pelaburan RM16 Billion oleh Petronas dan syarikat Carigali Hess untuk membina infrastruktur baharu di Kemaman, Terengganu dan Gebeng, Pahang bagi memproses Gas yang disedut dari perairan Kelantan.

Industri petroleum negara diburukkan lagi dengan pengusaan dan monopoli keluarga Tun Dr Mahathir. Kehadiran syarikat-syarikat minyak milik keluarga Tun Dr Mahathir telah merampas banyak kerja-kerja yang dahulunya dikuasai oleh Petronas.

i. Mokhzani, abang kepada Mukriz. Naib Presiden Sapura Kencana Petroleum Bhd mendapat kontrak pengeluaran gas di Medan Kamelia, 150km dlm perairan Kelantan berhampiran Medan Cakerawala.

ii. Mirzan Tun Dr Mahathir yang memiliki syarikat Petron pula menguasai bidang peruncitan minyak melalui pengambilalihan stesen-stesen minyak Esso dan Mobil.

Pihak R mengharapkan terbentuknya sautu lembaran baru lanskap politik Kelantan, susulan perjumpaan Kerajaan Negeri Kelantan dengan Perdana Menteri. Tambahan pula dengan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas; R mengharapkan perkembangan yang baik di dalam industri petroleum dan pihak Petronas berupaya menjalankan segala tanggung jawapnya di dalam pembangunan ekonomi kaum Melayu dan Bumiputra. Pihak Petronas seharusnya meneliti kembali segala tanggung jawapnya dari segi undang-undang sebagaimana telah termaktub di dalam perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani dengan semua pihak terutama sekali dalam soal bayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri pengeluar petroleum yang sembenarnya menjadi tuan kepada hasil petroleum yang dihasilkan tersebut.

Pastinya semua rakyat Malaysia mengharapkan agar pihak Kerajaan Persekutuan melantik seorang Penasihat baharu yang benar-benar layak.

Pihak R mencadangkan YBM Tg Razaligh Hamzah dilantik sebagai Penasihat Petronas bagi menggantikan Tun Dr Mahadir. YBM Tg Razaligh Hamzah merupakan antara pengasas awal penubuhan Petronas, malahan YBM Tg Razalight merupakan Pengerusi Pertama Petronas. Di samping itu beliau merupakan arkitek (pereka dan perancang utama) kepada pembentukan Akta Kemajuan Petroleum 1974. Penglibatanya di dalam industri Petroleum negara terbukti apabila beliau juga adalah orang yang terlibat secara langsung dalam perjanjian (menandatangani) di antara Petronas dengan negeri-negeri di Malaysia.

Beliau juga dipertanggungjawabkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak ( Ayahnda Perdana Menteri Malaysia sekarang) untuk berunding dengan semua Menteri – Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri bagi menyerahkan hak mencari gali dan mengeluarkan petroleum kepada pihak Petronas (sebelum ini mengikut Kanun Tanah Negara hak ini adalah di bawah bidang kuasa negeri) dengan balasan adalah bayaran royalti kepada kerajaan negeri-negeri yang mengeluarkan petroleum.

“TUNTUT ROYALTI HAK RAKYAT”

Nazri Deraman
Presiden R