NGO: Pahang ada telaga minyak baru ‘lebih besar’

Written by Admin on December 15, 2012

TEMERLOH – Gabungan Profesional Menuntut Royalti Minyak atau ‘R’ Pahang, mendedahkan pihaknya mempunyai bukti sebuah telaga minyak baru lebih besar berbanding telaga minyak di Bertam yang ditemui di perairan negeri ini.

rpahang

Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) itu, Nordin Majid berkata, pihaknya mempunyai bukti telaga minyak di medan ‘Rhu’ Blok PM-308 di dalam sempadan Pahang adalah enam kali lebih besar berbanding telaga minyak di Blok 307 Bertam, dalam perairan Terengganu.

Malang sekali katanya, Kerajaan Pusat tidak mendedahkan penemuan blok itu kepada umum hingga menimbulkan persoalan, khususnya kepada mereka yang mengetahui mengenai perkara tersebut.

“Pahang sebenarnya mempunyai blok telaga minyak enam kali lebih besar daripada Bertam, tetapi tidak didedahkan.

“Kami harap Kerajaan Pusat dapat menjawab persoalan, mengapa Kerajaan Pusat tidak mendedahkan kepada umum penemuan telaga minyak di Blok 308 Rhu ini?” katanya.

Nordin berkata, pihaknya juga mahukan Kerajaan Pusat memberikan royalti lima peratus kepada Kerajaan Negeri dan bukannya wang ihsan bagi setiap penemuan minyak di perairan negeri ditemui.

Beliau berkata, sumber mengenai penemuan minyak di Blok PM-308 ‘Rhu’ berkeluasan 5,500 dan 8,600 kilometer persegi itu diperoleh hasil kajian dibuat ‘R’ Malaysia serta ‘R’ Pahang.

Menurutnya, rakyat Pahang secara umumnya perlu tahu sekiranya wujud blok lain selain Blok 307 Bertam yang diumumkan Kerajaan Pusat sebelum ini.

“Kerajaan Pusat juga perlu mengumumkan jumlah hasil Blok PM-308 Medan Rhu dan tarikh pengeluarannya bermula seperti mana pernah diumumkan kepada rakyat Pahang mengenai Blok PM-307 Bertam.

“Apabila medan minyak Rhu yang berada di dalam perairan Pahang mengeluarkan hasil, adakah rakyat Pahang akan dibayar royalti atau wang ihsan?” katanya.

Nordin berkata, ‘R’ Pahang adalah sebuah NGO gabungan 100 NGO profesional lain bertindak bagi mencapai tujuan berkaitan tuntutan royalti mengikut perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974 serta Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Pahang

Sinar Harian

 

One Response to “NGO: Pahang ada telaga minyak baru ‘lebih besar’”

  1. PMO says:

    Kalau oil reserve di Rhu tak economically viable, ia takkan diproduce. Bak kata org kampung, tak balik modal nak produce. Simpan je dulu sehingga jumpa telaga minyak lain berdekatan & then baru produce. Bertam tak bertindih pon ngan Pahang, jadi najib jgn sedap mulut kata tu hak Pahang. Biar mati anak tapi jangan biar org luar rampas hak rakyat Terengganu.

Leave a Reply