NGO R tuntut royalti minyak pada kerajaan HARAPAN.

Written by Admin on May 14, 2018

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Royalti (R) menuntut janji Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi melunaskan royalti petroleum negeri itu.

Pengerusi R Malaysia, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada pejabat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyatakan tuntutan tersebut.

“NGO R melalui Pengerusi HARAPAN Kelantan, Husam Musa akan meminta HARAPAN menunaikan janji 20 peratus royalti minyak walaupun kita tewas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu di Kelantan.

“Saya serah kepada kebijaksanaan Dr Mahathir dan Husam untuk langkah selanjutnya,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, pada PRU14 lalu HARAPAN Kelantan menawarkan janji untuk memberi royalti minyak sekiranya mereka mentadbir Malaysia dan Kelantan.

Bagaimanapun, walaupun HARAPAN berjaya di peringkat nasional, namun parti gabungan itu gagal meraih sebarang kemenangan di Kelantan.

“Alhamdulillah kami menang Malaysia. Kalah dalam menang,” kata Mohd Hisyamuddin yang juga calon HARAPAN di DUN Apam Putra.

Sebelum ini Sabah dan Sarawak mendapat royalti sebanyak lima peratus, manakala Terengganu menerima sumbangan ‘wang ehsan’ daripada kerajaan pusat. 

Kelantan pula tidak mendapat sebarang bentuk bayaran.

Isu royalti minyak Terengganu dan Kelantan menjadi topik perbincangan sejak sekian lama dengan PAS mendakwa hak mereka sebagai kerajaan negeri dinafikan oleh kerajaan BN, sebelum ini.

Setahun selepas PAS mengambil alih pentadbiran negeri Terengganu pada pilihan raya 1999, Putrajaya yang diterajui oleh Dr Mahathir ketika itu memansuhkan bayaran royalti.

Mereka, sebaliknya membayar “wang ehsan” yang disalurkan terus kepada rakyat melalui BN.

Bagaimanapun, sekitar 2015 Petronas mengumumkan tidak lagi terikat secara undang-undang untuk membuat sebarang bayaran tunai kepada Terengganu di bawah perjanjian pembayaran yang ditandatangani Petronas dengan kerajaan negeri.

Leave a Reply