ROYALTI Kelantan sokong penubuhan Petros Sarawak

Written by Admin on March 10, 2018

ROYALTI Kelantan hari ini menyokong penuh usaha Sarawak berkenaan menguruskan kekayaan petroliam negerinya sendiri. Melalui PETROS. Terdahulu, Sarawak memulakan tuntutan 20% royalti minyak daripada 5% sebelum ini. Usul yang dibentangkan pada 6 Mei 2014 itu telah mendapat sokongan sebulat suara seluruh 68 ahli Dewan Undangan Negeri yang hadir.

Pihak ROYALTI (R) mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baru Kerajaan Sarawak dan seluruh rakyat Sarawak yang amat berani dan konsisten memperjuangkan hak mereka dalam soal kadaulatan hasil bumi mereka. Ianya patut dicontohi oleh semua negeri-negeri pengeluar minyak yang lain.

Dalam pada itu, pada 29 Mei 2016, speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak telah menggesa Kerajaan Persekutuan serius menyemak semula kadar bayaran royalti minyak Sabah (Sumber : Sinar Harian Sabah). Perkara ini telah menjadi antara keutamaan dalam perjuangan kami dari R Sabah dan R Sarawak sebelum ini.

Jumlah 20% telah lama diperjuangkan oleh kita semua sehingga dalam pilihanraya yang lepas, pihak Pakatan Rakyat telah memasukkannya sebagai manifesto di dalam PRU13 yang lalu. Juga menyambungnya dalam manifesto PRU14.

Kecuali Terengganu yang ditarik semula bayaran royaltinya, dan Kelantan yang dinafikan terus; negeri Sarawak dan Sabah sudah lama menikmati 5% bayaran royalti. Kemudian mendesak kadarnya disemak semula, dan akhirnya menuju ke arah menguruskan petroliamnya sendiri.

Sangat menyedihkan apabila rakyat Kelantan masih dinafikan hak bayaran 5%, walaupun satu perjanjian yang sama ditandatangani Terengganu, Sabah dan Sarawak. Malah seluruh negeri2 tertakluk pada akta yang sama.

ROYALTI Kelantan mencadangkan agar kesemua 5 negeri pengeluar Petroliam membawa usul, iaitu :-

1. Memohon kenaikan kadar royalti dari 5% kepada 20%. Sebagaimana yang telah dilakukan oleh DUN Sarawak.

2. Menyemak dan Mengkaji balik Perjanjian Penyerahan Hak kepada Petronas dan Perjanjian Royalti Petrolium yang telah lapuk iaitu semenjak 1975 (hampir 40 tahun yang lalu).

3. Sekiranya hasil kajian tersebut mendapati perjanjian-perjanjian tersebut telah ketinggalan zaman, tidak adil, zalim dan telah tidak sesuai lagi, maka Usul untuk membatalkan perjanjain tersebut perlu dibuat dengan kadar segera.

Pada pandangan kami, langkah-langkah ini amat sesuai untuk dilaksanakan pada masa ini kerana ianya bertepatan dengan moto Kerajaan Pusat pimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu “Rakyat Didahului”. Kenaikan bayaran royalti ini akan memberikan kesan positif yang amat besar kepada rakyat di negeri-negeri pengeluar minyak tersebut. Semua pihak mengetahui realitinya negeri-negeri pengeluar minyak merupakan antara negeri termisikin dan ketinggalan dari sudut pembangunan.

Kami amat yakin sekiranya Usul-usul yang kami cadangkan tersebut dibawa menjelang PRU terdekat, ianya akan mendapat sokongan penuh dari seluruh pengundi. Kerana ianya ternyata demi kepentingan rakyat yang seharusnya melampaui batasan politik kepartian.

Untuk mencapai tuntutan-tuntutan tersebut, ROYALTI Kelantan percaya, usaha ke arah ini sangat mencabar. Ianya memerlukan gerakan melalui kerajaan negeri masing-masing dan juga gerakan rakyat melalui NGO-NGO. Untuk itu, ROYALTI Kelantan bersedia berbincang dan bekerjasama dengan mana-mana Kerajaan Negeri dan rakyat di negeri-negeri pengeluar minyak tersebut.

ROYALTI Kelantan akan menghantar surat permohonan pertemuan dengan wakil Kerajaan Negeri Kelantan, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang dalam masa terdekat.

Leave a Reply